Saturday 1 August 2015

Demo pro-Anwar bertegas himpun di Sogo


Penganjur himpunan #KitaLawan yang bakal berlangsung Sabtu ini menegaskan untuk tetap berhimpun di hadapan pusat membeli-belah Sogo.

Bagaimanapun polis juga berkeras tidak membenarkan perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar itu diadakan di tengah ibu kota.

Penyelaras himpunan itu Fariz Musa berkata polis tiada hak menentukan tempat himpunan itu akan berlangsung.

"Itu hak kami, bukan hak mereka (polis) untuk tentukan.

"Keputusan kita buat hari itu masih kekal iaitu berhimpun di Sogo," kata Fariz kepada Malaysiakini.

Beliau turut memberi jaminan yang himpunan itu akan berlangsung dengan aman.

Himpunan 7 Mac menuntut pembebasan Anwar dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah bertegas bahawa Sogo adalah kawasan larangan untuk berhimpun.

"Walaupun mereka kata mahu menggunakan hak di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, kita ada prosedur dan kita ada undang-undang khusus untuk perhimpunan jadi dia kena ikutlah," katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan Sogo juga sudah membuat laporan polis berhubung himpunan tersebut.