Monday 10 August 2015

Najib Kurang Sokongan Di Johor .


Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk merasmikan mesyuarat agung perwakilan Umno Pasir Gudang pada awalnya dijangka 'panas' tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Perwakilan kelihatan mengambil sikap berdiam diri dan menunjukkan seolah-olah tidak berminat mendengar amanat disampaikan presiden mereka dalam ucapannya.

"Saya rasa begitu terharu Umno Pasir Gudang menerima dengan sepenuh hati ketibaan saya," kata Najib ketika memulakan ucapan beliau.

Bagaimanapun, bukan tepukan gemuruh yang menyusuli kata-kata Najib itu, sebaliknya hanya segelintir hadirian bertepuk tangan.

Dalam ucapannya, Najib mengacah mahu menarik semula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun hanya beberapa perwakilan yang memberi respon.

Berbanding ketika ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin (gambar), perwakilan kelihatan lebih bersemangat dan menyambut baik ucapan yang disampaikan.

Malah ketika ucapan itu berakhir, perwakilan berdiri sambil bertepuk tangan meraikan Khaled.

Kurang semangat sikit

"Umno Johor mengambil ketetapan bahawa urusan kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang Perdana Menteri. Ia mesti dihormati dan didukung. Walau pada hakikatnya ada dikalangan kami yang terluka," kata Khaled seklai gus disusuli tepukan dan sorakan.

Kenyataan itu dibuat merujuk kepada penggguguran bekas Menteri Besar Johor yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet Najib pada 28 Julai lalu.

Sementara itu, perwakilan yang di temui memberikan respon yang rencam.

"Ucapan PM bagus [...] tapi cara dia cakap kurang semangat sikit, dia slow saja. Jadi kami tak teransang.

"Sebaliknya ucapan menteri besar yang sangat jelas," kata Naib Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Rumah 10, Mohd Rizwan Mohd Daim kepada Malaysiakini.

Seorang lagi perwakilan yang ditemui berkata, beliau kecewa dengan ucapan Najib.

Selain menganggap Najib tidak menjawab yang sepatutnya, dia berkata: "Lain ditanya, lain dijawab".

Kehadiran Najib di Johor memang menjadi perhatian kerana negeri itu diketahui adalah kubu kuat parti berkenaan.

Namun pada masa sama sebahagian ahli dipercayai kurang senang kepada Najib ekoran tindakan beliau menggugurkan Muhyiddin.

Minggu lalu, Umno Kluang meluluskan usul mendesak Najibmenjawab soalan mengenai 1MDB dan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Sementara itu semalam, Umno Parit Sulong mendedikasikan sebuah sajak berbau antikerajaan bagi menggambarkan perasaan ahli akar umbi di kawasan itu supaya tidak diperlekeh atau dikhianati.